Betapa Kecilnya Jiwa Sastera Kita
Oleh Zamawi Al-Bugis
“Peperangan positif,” begitu selorohnya. “ Ha, ha,” begitu pula sambut saya. Maka selepas ini kita akan berperang. Terima kasih di atas provokasi di Perkampungan Penulis Mukah 2008. Sekurang-kurangnya ia membangkitkan eksistensi saya sebagai makhluk berfikir . Kalau menurut Descartes, “Cogito Ergo Sum (aku berfikir, maka itu aku wujud) ” Tapi dimana pula perbicaraan ini harus dimulakan?
Saya fikir lebih elok dimulakan dengan terminologi ‘provokasi’ itu sendiri !
Ya, memang gampang mencetuskan provokasi. Kerana lidah tidak bertulang, maka provokasi itu semudah menyebut A-B-C. Terutama apabila provokasinya tidak disandarkan dengan hujah-hujah intelektual. Akal sihat akan pasti dapat membezakan antara provokasi yang mempunyai nilai-nilai intelektual yang akhirnya membuka laluan untuk pembugaran ilmu dan pencerahan ataupun provokasi murahan (dalam konteks perkampungan itu) yang bermatlamat untuk menyuburkan pengaruh melalui pemanipulasian rasa kegerunan atau kecederungan autokrasi yang berbaur feudalisme.
Nah. jika ia bertolak daripada kasus pertama, maka dialah sipemikir yang berjiwa besar, peribadi renaissance alias sasterawan intelektual yang berusaha ‘memusatkan diri untuk memikirkan ide dan masalah bukan kebendaan dengan menggunakan kekuatan akliahnya’ (Syed Hussein Al-Attas: Intelektual Masyarakat Membangun)
Selanjutnya, golongan inilah ‘ orang yang memiliki pengetahuan, mereka yang mendasarkan penilaiannya pada renungan dan pengetahuan, yang kurang langsung dan tidak semata-mata berasal dari persepsi deria (baca:emosi) tidak seperti halnya dengan kaum bukan intelektual.’( Robert Michels: Intelectual art. Encyclopedia of the Social Science, Jld 8 Macmillan)
Namun, jika ia mengambil bentuk kedua itu, maka ini akan mengarah kepada kedunguan yang konyol ! Provokasi murahan seperti di perkampungan itu memang memenuhi konotasi ‘kedunguan yang konyol’ itu sehingga matijahnya telah menyebabkan beberapa pihak tersinggung. kecil hati, merajuk dan mengambil keputusan pulang lebih awal !. Hal yang tidak sepatutnya berlaku tetapi telahpun terjadi. Alahai !
Bertitik-tolak daripada ini, saya cuba membangunkan premis pembicaraan dengan persoalan seperti ini, “Apakah ada spesies sasterawan intelektual didalam dunia sastera kita ini? Jika ada, siapakah dia yang selayaknya dianggap sasterawan intelektual? Apakah agaknya karya-karyanya yang mencerminkan keintelektualannya? Adakah dia ada di kalangan peserta di perkampungan itu? ”
Fikiran saya selepas itu mengimbas pula beberapa dialog yang diucapkan dalam hubungan dengan perkara ini, “Tidak adapun hal-hal yang dianggap mampu memodenkan dunia sastera kita dibincangkan,” begitu kedengaran keluhan beberapa pihak. “Yang ada hanyalah perkara-perkara yang hanya akan membuai kita untuk akhirnya lalai yakni hal-hal sejarah.” ujar beberapa pihak lagi. “Kita perlukan sudut pandangan yang lain, approach yang lain terhadap sastera,” kata pihak yang satu lagi.
Provokasi di perkampungan itu benar-benar telah mencetuskan satu persoalan serius tentang dunia sastera kita. Persoalan yang membuka kelemahan yang selama ini tidak diendahkan oleh pihak berwewenang bahawa dunia sastera kita ketandusan (atau boleh tidak dikatakan ketiadaan) sasterawan yang boleh dilabelkan sebagai intelektual. Selayaknya kita merasa cemas dan khuatir akan ‘penemuan’ terbaru ini.
Maka tidak hairanlah disebabkan ini, jadilah kita ‘pahlawan dalam kandang kecil ‘(Ahmad Wahib:Pergolakan Pemikiran Islam) Sastera kita hanyalah kandang kecil yang mampu memuatkan sasterawan yang sering disajikan dengan kegiatan yang berbaur propasif; yang tidak menggalakkan percambahan fikiran dan yang tidak memungkinkan penemuan hal-hal yang baru baik daripada segi kefalsafahan, pengkaryaan mahupun pergerakan.
Kita tidak akan membuat perbandingan terhadap negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia yang pastinya bilangan sasterawan intelektual berkembang-biak dengan sihatnya, apatah lagi terhadap negara-negara jiran seperti Indonesia yang sudah terbukti melahirkan sasterawan bertaraf dunia kerana pastinya perbandingan seperti itu tidak adil dan waras sama sekali.
Namun hal paling penting ialah untuk mengakui usia sastera kita masih muda, masih mentah dan untuk mengejar kemajuan kita jangan malu bertanya dan belajar. Pendek kata, kita perlukan sesuatu yang besar; tangan besar untuk menulis sesuatu yang besar, mata besar untuk melihat hal yang besar, telinga besar untuk mendengar pemikiran yang besar, mulut besar untuk berkata hujah yang besar dan akal besar untuk mengungkapkan fwawasan yang besar.
Inilah perubahan yang mesti dipertimbangkan oleh dunia sastera kita, terutamanya oleh peneraju utamanya iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak (DBPS).
Masalah kita mudah sebenarnya. Kita tidak menyatakan diri kita sebagai komuniti yang berjiwa besar yakni berwawasan alias bergagasan. Kita menyatakan bahawa kita hidup di sebuah negera yang merdeka dan bebas, namun pemikiran kita masih di peringkat negara dunia ketiga. Contohnya mudah iaitu acara perkampungan itu yang sepatutnya menjadi katalis kepada perkembangan lebih dinamik tetapi telah disalahgunakan untuk tujuan mencetuskan sesuatu yang tidak relevan.
Jika mahu diletakkan istilah prestij pada acara perkampungan itu, maka ia sepatutnya bercakap tentang segala-galanya yang mampu untuk menganjak paradigma dunia sastera kita ke satu tahap membanggakan, tumbuh dan berkembang secara menyeluruh. Ternyata hal-hal ini tidakpun berada dalam lingkungan otak mereka yang dianggap punya autoriti untuk bercakap di pentas prestij seperti itu.
Nah, kita masih belum dapat menentukan jiwa sastera kita. Samalah kita seperti beberapa buah negara Afrika yang masih bergolak dengan perebutan kuasa itu. Sasterawan kita seperti rakyat di negara itu yang kehidupannya tak keruan. Ke depan, ke belakang, ke atas, ke bawah, ke mana?
To be or not to be, that is the question ! Sekarang adakah kita punya cukup keberanian untuk mengimpikan perubahan.
Saya merasakan kita perlukan satu revolusi untuk mengubah wajah sastera kita ! Kita perlukan sebuah idealisme untuk menggerakkan dunia sastera kita menjadi lebih dinamik dan progresif. Dunia sastera kita sewajarnya menilai kembali peranan mereka dalam sastera yang lebih besar iaitu meletakkan dirinya pencatur utama sastera kebangsaan. Sastera kita bukan hanya sastera Sarawak, penulis kita bukan hanya penulis Sarawak tetapi sastera kita juga sastera kebangsaan, penulis kita juga penulis nasional, sastera kita juga adalah sastera dunia dan penulis kita juga adalah penulis dunia.
Tinggal lagi untuk kita memikirkannya. Kita memerlukan soladaritas jika ingin memulakan segala-galanya; tanpa prasangka, tanpa dendam, tanpa marah, tanpa merajuk, tanpa irihati, tanpa hasad dengki, tanpa penghinaan, tanpa kurang ajar. Sebaliknya segala-galanya adalah manifestasi hablun minnanas yang kukuh.
“ Apabila sastera sudah mampu menangani dirinya sebagai entiti yang kukuh dan bersoladaritas, maka peranan seterusnya ialah ke arah sastera sebagai sebuah institusi sosial yang akan memperjuangkan ‘bahasa jiwa bangsa’ -premis yang selama 50 tahun merdeka telah gagal di perjuangkan ” bisik hati kecil saya.
Buah cempedak di luar pagar/ ambil galah tolong jolokkan/ saya budak baru belajar/ kalau salah tolong tunjukkan. Akhirnya saya tinggalkan pembicaraan ini dengan satu pertanyaan lain; adakah kita sudah merasai perubahan ?
3 ulasan:
Salam,
Pertama kalian tahniah buat kerabat API atas kemunculan PAKSI ONLINE! akhirnya tatkala kita merindui terbitan keduanya secara media cetak satu ketika dulu.
Kedengkian, kehasadan, keangkuhan tetap berada paling atas di kepala insan yang menggelarkan dirinya PENJAJA INTELEKTUAL dan mendodoi suara kecerdikannya agar dipandang dan disanjung manusia.
Selayaknya - begitulah cara kita menangani peperangan terbuka seumpama itu.
Sejarah sudah cukup mengajar insan untuk lebih baik dari semalam. Jangan salahkan sejarah yang berulang-ulang itu jika pernah mengalami kejatuhan. Namun - mulai dari saat ini bangkitlah majukan diri untuk lebih baik dari sejarah semalam bukannya asyik2 mengulang sejarah yang sama - menunjuk-nunjuk kejelekan dan kebanggaan tamadun silam.
API ! Mari kita bangunkan tamadun yang kelak disanjung manusia di seluruh pelosok dunia. Bersama memartabatkan sastera Darul Hana dengan penuh kasih sayang di antara insan seni, penulis, pemikir, pembudaya, penyair, orang kenamaan, golongan marhaen.
isu yang diutarakan amat penting. benar jiwa sastera kita kecil. kita perlu berubah untuk menjadi besar. tahniah API
kemunculan Paksi Online mengubat rindu saya pada berita dari dunia underground anda. dulu ketika pertama kali muncul, beberapa rakan sejawat saya memandang sinis Paksi. tapi kini Alhamdulillah, Paksi Online menyanggah persepsi juling mereka itu. tahniah API diatas kesungguhan anda itu.
Catat Ulasan